TUAN KEDAUNG

Setelah puas menyelidik rumah sebesar istana di satu taman perumahan dalam kawasan yang sedikit ceruk, malam itu Jang dan Kamel membuat keputusan untuk mejalankan projek mereka yang mereka gelarkan, Projek Mayhem. Ini bukan projek main-main. Ini projek antara hidup dan mati. Tuan rumah itu juga bukan ‘main-main’ punya tuan rumah. Ini Tuan Kedaung. Tuan Kedaung adalah pemilik bagi sebuah syarikat pemaju di tengah pekan. Makanya, Projek Mayhem tersebut disusun dengan strategi yang terbaik bagi mengelak segala kegagalan rancangan daripada berlaku. Jang dan Kamel juga mengajak rakan-rakan yang seangkatan dengan mereka bagi melaksanakan projek ini.

     “Ingat, sekali henjut terus blah.”

     “Kalau tak sempat macam mana Jang?”

     “Kalau tak sempat, aku tak ajak kau join projek ni.”

     Masing-masing mengangguk. Pemilihan yang dibuat oleh Jang bagi menjalankan Projek Mayhem ini bukanlah pemilihan sekadar atas hubungan persahabatan sahaja. Ini bukan projek kroni-kroni macam projek yang dibangunkan pihak pemerintah. Pemilihan yang dibuat adalah secara telus. Berdasarkan kemahiran masing-masing. Ini semua demi Projek Mayhem. Ini semua, demi kampung  mereka. Ini semua, demi mereka!

     Setelah tiba di hadapan kawasan rumah milik Tuan Kedaung, mereka masing-masing menyarung sarung muka di kepala. Ini bagi mengelakkan wajah mereka dapat dikesan oleh sistem sekuriti yang menggunakan sistem CCTV yang berada di setiap sudut rumah. Kajian ini telah dilakukan pula oleh Kamel sebelum malam tersebut tiba. Berpura-pura menjadi peniaga yang berjaya, yang ingin melabur saham dalam syarikat Tuan Kedaung, Kamel berjaya memperincikan setiap maklumat yang berkaitan untuk dimuatkan dalam sekeping kertas A1 dengan lukisan autocad yang juga dihasilkan oleh Kamel. Seperti yang diperkatakan, kemahiran mereka tidak boleh dipandang enteng. Ini bukan projek main-main!

     Jang memberikan arahan kepada mereka yang berkaitan untuk menggagalkan sistem sekuriti pada kawalan panel berhampiran dengan pondok pengawal. Makanya, dua orang daripada mereka melompat masuk dengan gaya parkour ke dalam rumah dan terus menuju ke arah pondok pengawal keselamatan dengan kelajuan menghampiri cahaya. Sudah diperjelaskan tadi, kemahiran mereka tidak boleh dipandang enteng. Ini bukan projek main-main!

     Setelah mendapat isyarat dari dua orang teman tadi, Jang dan komrad yang lain mula memasuki ke dalam kawasan rumah tersebut menggunakan pintu pagar hadapan. Selamba. Diketuai oleh Jang, mereka semua menuruti di belakang Jang. Dengan hanya dua tiga isyarat yang dibuat Jang menggunakan jari, masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilaksanakan. Masing-masing mengeluarkan tin cat sembur dan terus menuju ke arah bahagian-bahagian dinding dan tingkap yang sudah ditugaskan bagi menyelesaikan dan menjayakan Projek Mayhem ini. Makanya, masing-masing memanjat dan melompat dengan gaya parkour ke arah dinding rumah besar itu untuk dihiasi dengan mural-mural yang sarat dengan mesej walaupun ringkas.

     “Kau ingat kau kaya, kau boleh jahanamkan tempat aku? Kau silap besar Tuan Kedaung. Kau silap besar.”

     Jang terus masuk ke dalam rumah Tuan Kedaung dan terus menuju ke arah bilik Tuan Kedaung. Sebagai ketua, menghiasi rumah bukan ‘level’-nya. Bos, perlu menghadap bos. Ini lumrah. Kalau kau kaki game, kau akan faham. Dengan maklumat yang diberikan oleh Kamel, Jang dapat mencari bilik Tuan Kedaung dengan mudah. Terus sahaja dia menerajang pintu bilik Tuan Kedaung. Sayangnya, kaki Jang terseliuh. Pintu bilik Tuan Kedaung bukan main-main punya pintu. Makanya, Jang menggunakan kudratnya, merempuh pintu tersebut menggunakan tubuhnya. Akhirnya, Jang berada di dalam bilik Tuan Kedaung dengan kaki kanan yang terhincut-hincut.

     Di dalam, kelihatan Tuan Kedaung sedang selamba melayan nasi goreng dengan kopi o suam (rasanya) sambil menonton televisyen skrin besar entah harga berapa ribu...

********

     “Kau punya cerita ni best dah. Tiba part kau masuk bilik Tuan Kedaung je aku pelik dah.” Ujar Kamel.

     “Pehal pulak?” soal Jang.

     “Udah-udah le Jang berangan. Silap-silap tak sempat nak masuk kau dah kena ratah dah. Dia tu, gajah. Kau tu, semut. Sekali pijak, prap! Innalillah...” perli Atar.

     “Habis tu sampai bila kau nak biar dia menindas orang kampung kita beb. Tanah bapak aku tu, habis nak dibelinya.” Keluh Jang.

     “Kau ni, memang kaki borak gebang dekat kedai kopi. Lu memang true Jang.” Ujar Kamel.

     “Pehal lak?”

     “Bukan kau ke yang sain kertas yang Tuan Kedaung hari tu?” soal Atar.

     “Ya la. Kenapa?”

     “Kau baca tak?” soal Kamel pula.

     “Aku mana reti baca...”



TAMAT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan